[Terjemahan daripada
“Meatless Like Muhammad“, oleh Shireen Hakim. Diterjemahkan oleh Megat Hanis.]
Orang Islam sentiasa
berusaha mengikuti Sunnah, dengan mengikuti cara hidup baginda Nabi Muhammad
SAW. Kita lebih dekat dengan Tuhan dengan mengikuti amalan baginda seperti
senyum dan menderma.
Bagaimana pula dengan
mengikuti tabiat pemakanannya? Kita juga mahu makan menurutnya, seperti memasak
menggunakan minyak zaitun dan menikmati buah delima dari pohonan.
Kita tahu bahawa jika
baginda memilih makanan tertentu ia pastinya bermanfaat.
Walaubagaimanapun,
terdapat satu tabiat pemakanan beliau yang sangat penting untuk kesihatan kita,
tetapi seringkali diketepikan.
Menurut sumber Hadith,
Nabi Muhammad begitu jarang memakan daging, dan hanya memakannya ketika majlis
istimewa atau sebagai tetamu.
Pemakanan sehariannya
terdiri daripada makanan kegemarannya seperti kurma, air , cuka, madu, yogurt,
roti barli dan anggur. Daging pula hanya sesekali, itupun beliau lebih
menggemari bahu atau kaki kambing.
Baginda tidak pernah
kenyang memakan roti dan daging. Pernah sebagai tetamu baginda dihidangkan
gulai labu dan daging, namun baginda hanya memilih labunya untuk dimakan.
Baginda dan
sahabat-sahabatnya menanti-nanti hari Jumaat, kerana seorang wanita tempatan
akan menghidangkan mereka jamuan tanpa daging, dengan pengganti daging.
Masyarakat awal Muslim
meneruskan tradisi Nabi Muhammad yang jarang memakan daging.
Seperti kata Khalifah
ke-2 umat Islam, Umar bin Al-Khattab: “berhati-hatilah dengan daging, kerana ia
menyebabkan ketagihan seperti alkohol”
Beliau pernah menegur
anaknya yang selalu mengidam dan membeli daging. Umar merupakan contoh yang
baik buat kita, kerana Nabi pernah bersabda, “Jika ada nabi selepas aku,
pastinya ia Umar”.
Maka, memakan daging
dengan sedikit merupakan sunnah nabi dan tradisi awal Islam.
Kini, tabiat memakan
daging sangat bercanggah dengan amalan Nabi SAW, Umar dan juga masyarakat Islam
terdahulu. Ada sebabnya mengapa mereka jarang memakan daging: ia sangat
berbahaya jika diambil selalu.
Pemakanan daging yang
berterusan berpotensi mendatangkan penyakit sepertisakit jantung, kanser dan
kelebihan berat badan.
Daging merupakan makanan
yang bermanfaat dan halal, dan kita bersyukur kerana dikurniakan nikmat
tersebut. Namun, kita harus sedar bahawa kita sedang berlebihan, dan perlu
mengurangkan pengambilannya.
Bagaimana Tabiat
Pemakanan Daging Seharian Dianggap Normal?
Tabiat ini sebenarnya
meniru cara pemakanan Barat yang juga telah dicemari zaman peperangan dan
kepentingan politik. Menariknya, masyarakat awal Amerika juga jarang memakan daging.
Namun, ketika Perang
Dunia 1 dan 2, daging dicatu. Apabila keamanan tercapai dan daging boleh
didapati semula, masyarakat mengganggap makanan mewah sebagai makanan
ruji.Malangnya, apabila daging menjadi makanan harian, penyakit jantung dan
kanser naik mendadak.
Kesihatan rakyat Amerika
merudum sehingga pada tahun 70-an, Kongress telah meluluskan “Matlamat Diet”
yang menyatakan bahawa kita harus mengurangkan pengambilan daging.
Walau bagaimanapun, para
pelobi daging berusaha keras untuk memastikan daging termasuk dalam Panduan
Diet AS. Para pelobi ini kemudiannya berterusan mengiklankan dan memasarkan
ideologi kepentingan daging di sekolah-sekolah dan program nutrisi.
Maka, kita masih berfikir
bahawa kita perlu memakan daging setiap hari, dan biasa dengan keadaan itu.
Tabiat pemakanan Barat ini merebak ke Asia dan negara-negara Amerika Latin,
menguatkan penyamarannya sebagai diet yang normal.
Malangnya, diet yang
sarat daging berkait rapat dengan punca kematian tertinggi di AS seperti sakit
jantung, kanser dan obesiti.
Peratusan populasinya
yang menghidapi penyakit ini sangat besar: sakit jantung (11%), kanser (8.5%)
dan obesiti (33%). Sebaliknya, mereka yang mengambil daging secara berkala
didapati lebih sihat.
Fleksitarian (mereka yang
mengambil daging beberapa kali seminggu/sebulan) mempunyai kadar sakit jantung
dan kanseryang lebih rendah, 15% kurang berat badan dan hidup 3.6 tahun lebih
lama.
Vegetarian yang langsung
tidak mengambil daging dianggarkan 17 paun lebih ringan, hidup 5 tahun lebih
lama dan mempunyai 30% kurang kadar risiko kanser.
Ramai yang memakan burger
daging, kepak ayam dan pizza daging seharian, menghidapi penyakit jantung atau
kanser, dan kemudian langsung mengubah tabiat pemakanan mereka.
Ambillah langkah proaktif
dan mulakan memakan makanan sihat sekarang, sebelum anda jatuh sakit.
Jadi, Apa Yang Patut Kita
Makan Selain Daging?
Terdapat banyak protein
enak tanpa daging, dan kaedah sangat mudah untuk mengamalkannya dalam diet
seharian.Antaranya adalah kekacang dan mentega kacang, ikan, lentil, taufu,
telur, susu, keju dan yogurt, kubis, nasi perang dan quinoa.
Setiap hari, makanlah 5-7
auns atau 4-6 hidangan protein ini. Contoh hidangan seperti: 1 cawan susu
organik (8 gram protein), 1 cawan yogurt Greek (11 gram), 1 cawan kacang hitam
(16 gram), 1 sudu mentega badam (4 gram), 1 auns salmon (5 gram), setengah
cawan tauhu tanpa-GMO (20 gram), 1 cawan nasi perang (5 gram), 1 cawan quinoa
(8 gram), 1 cawan kubis (3 gram) dan 1 cawan brokoli (4 gram).
Protein-protein ini lebih
bermanfaat dan sarat nutrient berbanding dengan daging: dengan tambahan
protein, zat besi dan vitamin B12, ia juga mengandungi lemak tidak tepu, asid
lemak omega-3, dan serat. Kajian menunjukkan protein tanpa daging dapat
meningkatkan kekuatan tentera dan lebih mudah dihadam.
Makanan ini mengurangkan
risiko penyakit dan kematian. Ia juga meningkatkan kadar metabolisme, dan
membantu mengurangkan berat badan.
Kita digalakkan memakan
protein tanpa daging untuk kebanyakan hari dalam seminggu, dan daging (ayam
atau kambing) hanya untuk sehari dua.
Ikuti langkah-langkah
berikut untuk mengamalkan diet tanpa daging:
1. Sertai gerakan Isnin
Tanpa Daging yang popular: jangan memakan daging pada hari Isnin. (Jika anda
berpuasa pada hari Isnin, maka bersahur dan berbuka puasalah tanpa daging).
2. Masukkan hidangan
tanpa daging kegemaran dalam pemakanan seharian, dan kerapkan pengambilannya
(seperti pizza sayur, sandwich mentega kacang dan burrito nasi)
3. Dalam sehari, ambil
satu hidangan tanpa daging, kemudian tingkatkannya. Teruskan sehingga seluruh
hari dilalui tanpa daging.
4. Penuhi dapur dan peti
sejuk anda dengan protein yang dinyatakan di atas supaya anda sentiasa
mempunyai pilihan.
5. Kunjungilah restoran
yang menyediakan juadah tanpa daging seperti restoran Chitpole, CPK , sushi dan
Mediterranean.
Tabiat pemakanan protein
tanpa daging menjimatkan masa, tenaga dan stress.
Protein tanpa daging juga
mudah didapati di banyak lokasi dan selalunya halal. Oleh itu, terdapat lebih
banyak pilihan restoran dan kedai-kedai runcit.
Hidangan tanpa daging
mampu meningkatkan kesihatan kita dan bertepatan dengan sunnah.
Ia tidak menjadikan
seseorang itu vegetarian, dan anda masih boleh menikmati daging.
*Shireen Hakim ialah
seorang penulis dan pelatih nutrisi. Shireen menceburi bidang nutrisi di UCLA,
Columbia dan Loma Linda University.