Langkau ke kandungan utama

Nak Travel? Tapi ragu-ragu tentang makanan yang HALAL? baca ni..

 


ADA BANYAK MAKANAN HALAL DI MUKA BUMI, MEMBUKTIKAN ALLAH TIDAK ZALIM KEPADA PARA MUSAFIR

(AMARAN: Ini satu posting yang panjang. Baca setiap baris ayat sehingga habis sebelum komen supaya nampak cerdik dan tak memalukan diri sendiri.)

Isu makanan halal di luar negara (malah di dalam Malaysia), memang takkan habis dibincangkan dengan panas dan selalu sangat 'diserikan' dengan bergaduh pendapat, mengejek, dan berkata kesat.

Aku jarang tulis tentang makanan sewaktu travel, sebab inilah. Sebab, akan ada saja yang datang persoalkan makanan yang aku makan tu halal ke? Disambung dengan, "Tanya je." (Beb, seriously, aku ni ada rupa orang yang bangga makan babi, enjoy minum arak ke?)

Ini akan dilanjutkan lagi oleh orang seterusnya yang hentam kata traveller ni makan main sebat, tak kira halal haram. Tak ada cop halal pun belasah. Lebih dahsyat, dia nak makanan tu ada cop HALAL JAKIM, barulah dia yakin kau makan makanan halal, walaupun kau di Liechtenstein. Allahu.

Apabila kita jawab, ada yang back up dengan kata, "Ala, dia nak pengesahan saja. Tak perlulah nak sentap sangat." Pengesahan apa tu? Pengesahan yang aku tak menipu ke macam mana?

By the way, berkata-kata kesat, mencarut, memaki hamun, menuduh, memfitnah, berburuk sangka, share posting orang dengan caption mengajak orang lain ramai-ramai datang kecam = sama saja hukumnya dengan memakan makanan haram iaitu HARAM. Lagi dahsyat, termakan makanan haram, kau boleh direct mohon keampunan Allah. Tapi menyakiti hati orang, kau kena minta maaf daripada orang tu dulu untuk dapat keampunan Allah.

Aku nak tulis panjang lebar ni. Tajuk pun aku dah tulis directly dengan harapan tak ada yang misleading. Sesiapa nak ulas, pastikan baca sampai habis supaya tak malu sendiri.

--

First thing first.

Mencari yang HALAL itu WAJIB. Tiada kompromi. Yalah, dah kenapa sengaja nak cari grilled pork kalau di sekeliling kau bersepah kedai seafood?

Hanya apabila keadaan darurat, contohnya kapal terbang kau terhempas dalam hutan, kau masih hidup, dan berbulan-bulan orang cari tak jumpa, maka ketika itu kau diharuskan (dibolehkan) makan daging mayat orang lain, bangkai, babi, darah, dan lain-lain yang pada asalnya haram.

--

Kedua.

Fahami takrif 'halal'. Apakah makanan yang ada cop halal sahaja yang halal?

Menurut portal rasmi Halal Malaysia:

"Berasal Halal dari frasa dalam bahasa Arab yang bermaksud 'dibenarkan', atau dibenarkan oleh undang-undang Islam."

Dalam artikel kajian Pentakrifan Halal Menurut Syara' Dan Perundangan Di Malaysia oleh Prof. Madya Dr. Alias bin Azhar dan Prof. Madya Dr. Harlida Abdul Wahab dari Pusat Pengajian Undang-Undang, UUM COLGIS, Universiti Utara Malaysia, merumuskan bahawa,

"Halal adalah merujuk kepada sesuatu yang bersifat harus* hukumnya di sisi syara' untuk manusia makan, guna, bermuamalah, dan sebagainya."

* harus = dibolehkan

Halal = boleh.

Nota: Ada juga makanan halal yang kita tak boleh makan sebab kotor. Contoh situasi, roti aisy di Mesir. Bahan resipinya halal. Tapi ada yang dijual secara terdedah, betul-betul di sebelah longgokan sampah. Siap ada anjing dua tiga ekor sedang korek sampah tu baik punya. Janganlah makan yang itu. Dah jadi tak halal sebab kotor dan memudaratkan. Makanlah roti aisy yang dijual di tempat yang bersih.

--

Ketiga.

Kalau kau berada di tempat yang hampir tak ada umat Islam, ataupun minoriti Muslim, yang kalau kau nak pergi ke restoran halal ambil masa yang lama sedangkan kau tak sempat. Macam mana kau nak makan?

Balik kepada takrif makanan halal. Fikir dengan tenang, apa makanan yang kita boleh makan? Apa makanan yang asasnya tidak mengandungi bahan haram?

Telur
Sayur
Kekacang
Tauhu
Jagung
Buah berangan
Ubi kayu
Keledek
Kentang
Buah
Nasi
Susu
Ikan
Makanan laut
dll.

Kemudian, selidik lagi. Selidik resipi asas. Roti baguette, contohnya. Apa bahan yang diperlukan untuk buat roti baguette? Air, tepung, garam, yis. So, boleh dimakan.

Contoh seterusnya. Orang Jepun, Korea, goreng makanan guna minyak babi ataupun minyak masak daripada lemak haiwan ke? Oh, tak rupanya. Mereka guna minyak sayuran, minyak kekacang, minyak canola, minyak bunga matahari. So, ikan goreng di sana, boleh dimakan.

--

Keempat.

Di luar sana, ada restoran halal. Ada pula restoran Muslim-Friendly.

Restoran halal ialah yang disahkan halal oleh agensi Islam tempatan. Contohnya, Australian Halal Authority & Advisers (AHAA), Korean Muslim Federation (KMF), Halal Food Council of Europe (HFCE), Shandong Halal Certification Service (SHC), dll.

Restoran Muslim-Friendly pula adalah yang menghidangkan makanan halal - sumber daging halal, proses masaknya halal. Hanya ada minuman beralkohol dalam menu.

Ok. Jangan melenting dulu.

Adanya minuman beralkohol dalam menu, tidak bermakna mereka campurkan alkohol dalam masakan. Mereka hidangkan sebagai minuman kepada pelanggan bukan Muslim.

Ingat, mereka di negara minoriti Muslim. Kalau harapkan hanya pelanggan Muslim yang datang, perniagaan mereka sukar survive. Ingat, mereka tuan rumah dan mereka ada budaya harian sendiri. Kita ni sekadar orang yang datang, bukan orang yang menetap di sana. Tak boleh kita yang orang asing ni, pergi ceramahkan mereka tuan rumah jual arak dalam kedai yang sama hidangkan daging halal. Bukan hak kita nak tazkirah orang yang tak kenal agama kita. Kalau kita tak sedap hati, apa yang kita boleh buat ialah beredar dari situ. Islam tak ajar kita cari gaduh. Di negara minoriti Muslim, kita duta Islam. Akhlak paling utama mesti dijaga. Lagipun, yang ada jual arak tu statusnya Muslim-Friendly, bukan halal penuh.

Nota: Tazkirah = reminder. Tazkirah hanya diberikan kepada orang yang ada ilmu tetapi lupa. Bukan kepada orang yang ilmu asas pun dia tak pernah belajar. Bezakan tazkirah dengan dakwah ya.

Melainkan di negara majoriti Muslim tapi ramai sekular seperti Turki. Restoran halal yang tak hidangkan arak lebih banyak berbanding yang hidangkan. So, jauhi restoran yang ada jual arak di Turki.

Ah, ada yang kata, kalau macam itu, maknanya kita diberi minum guna cawan / gelas yang sama dihidangkan arak.

Nanti dulu.

Amat jarang cawan dan gelas untuk minuman beralkohol digunakan untuk hidang air biasa.

Contoh. Di Korea, restoran hidangkan air kosong percuma untuk setiap pelanggan, dengan gelas besi ataupun plastik. Gelas besi / plastik ini tidak digunakan untuk minum soju. Depa minum soju guna gelas shot yang kecil tu.

Kalaupun diberi cawan / gelas yang sama, memadai membasuhnya seperti biasa kerana arak bukan najis berat.

Dan, jauhilah minuman manis. Minuman tinggi kandungan gula ni memudaratkan tubuh badan. Benda yang memudaratkan ni, kalau diambil berlebihan, haram juga walaupun ada cop halal JAKIM.

Kau baca semua ke? Kalau baca semua sampai habis, komen, 'Alhamdulillah. Saya baca sampai habis.'

--

Kelima.

Macam mana kalau restoran halal pun tak ada, restoran Muslim-Friendly pun tak ada?

Balik kepada takrif makanan halal yakni yang kita boleh makan. Cari di pasar, di supermarket, mini market, convenience store. Dan makanlah.

--

Keenam.

Pinggan mangkuk di guesthouse / homestay / hostel - boleh guna ke? Perlu sertu ke?

Tidak perlu. Memadai basuh bersih dengan air biasa. Melainkan kau nampak depan mata dengan jelas pinggan tu digunakan untuk makan babi. (Ingat. Bukan semua non-Muslim makan babi, malah ada yang vegetarian.)

Juga tidak perlu kau sampai masuk dapur restoran orang dan perhati dia masak campur alkohol ke tidak, guna periuk kuali yang sama dengan masak babi ke tidak.

Dalam Islam ada satu kaedah iaitu, 'TIDAK WAJIB kita persoalkan perkara yang kita tidak nampak secara terperinci kecuali apabila telah JELAS haramnya.'

Dan tidak ada larangan juga memakan masakan yang dimasak oleh orang bukan Islam selagi kandungan makanan itu JELAS tidak mengandungi bahan-bahan yang haram dimakan.

Imam Bukhari meriwayatkan, ada sahabat Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bertanya tentang daging yang diberikan oleh suatu kaum kepada mereka. Mereka tidak pasti apakah kaum itu menyebut nama Allah ataupun tidak ketika menyembelihnya.

Rasulullah menjawab, "Sebutlah nama Allah dan makanlah." (Sahih al-Bukhari: 2057)

Salah faham pada nas al-Quran yang menyebut 'orang kafir dan musyrik itu adalah najis', telah dijelaskan oleh para ulama bahawa yang dimaksudkan 'najis' (najasah) itu adalah pada kepercayaan iaitu akidah mereka sahaja. Bukannya tubuh badan mereka.

Beberapa hadith juga menunjukkan bahawa ragu-ragu dan syak tidak membatalkan keyakinan. Sesuatu hukum tidak boleh dijatuhkan hanya bersandarkan sangkaan dan persepsi. Kata-kata seperti 'entah-entah' dan 'jangan-jangan' adalah tidak valid dalam menentukan hukum.

Contoh, restoran Muslim-Friendly yang ada jaminan semua makanannya halal, ia adalah tetap halal walaupun tetiba ada makhluk cuba membisikkan keraguan ke dalam hati kau.

Malahan jika kau lupa masih ada wuduk ataupun tidak, tetapi yakin kau tak kentut, kencing, berak, ataupun bersentuhan yang mengundang syahwat selepas berwuduk yang terakhir, maka dikira kau masih dalam wuduk, dan solatlah.

Kau baca semua ke? Kalau baca semua sampai habis, komen, 'Alhamdulillah. Saya baca sampai habis.'

--

Ketujuh.

Bukan tang makan sahaja kita wajib jaga halal haramnya.

Semasa travel, haram tinggalkan solat dengan sengaja. Haram dedahkan aurat dengan sengaja. Haram pergi ke pusat maksiat dengan sengaja. Haram berzina. Haram bersentuhan dengan sengaja atas dasar cinta dan nafsu dengan pasangan yang belum halal.

Dan ingat. Kalau kau pergi Korea bukan main jaga daripada termakan yang tak halal, kempen kat orang jangan pergi pasar malam Myeongdong makan streetfood, tapi kau pergi berjimba di konsert KPop, maka kau tak layak solat jamak. Sebab kau bermusafir sambil buat benda yang Allah tak suka, walaupun semua makanan yang kau makan adalah halal.

--

Kesimpulan.

Islam sangatlah luas, sangat banyak ilmunya. Bukan setakat yang kita belajar dalam subjek PAI di sekolah. Bukan sekadar yang kita dengar kuliah setiap hari, baik di masjid mahupun YouTube.

Jangan laju menafikan ilmu orang lain hanya sebab kita kita rasa ia berbeza daripada apa yang kita pelajari. Segala yang kita rasa kita tahu, yang kita genggam selama bertahun-tahun dalam tangan, boleh jadi masih amat cetek.

"Katakanlah, sekiranya lautan menjadi dakwat untuk (menulis) ayat-ayat Tuhanku, sungguh akan habislah air lautan itu sebelum sempat habis (ditulis) ayat-ayat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)." (QS al-Kahfi:109).

"Dan sekiranya pohon-pohon di bumi menjadi pen dan laut (menjadi dakwat), kemudian ditambahkan kepadanya tujuh lautan lagi, tentunya tidak akan habis-habisnya (ditulis) ayat-ayat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.' (QS Luqman:27).

Yang suruh kita mengembara ni, Allah. Apakah Allah suruh kita mengembara dan dibiarkan dalam keadaan kelaparan?

Punya luas alam ini, punya hebat ciptaan Dia, punya banyak benda yang Dia benarkan kita makan. Ya, kita, manusia yang mengaku percaya kepada Dia.

"Apakah kamu tidak berakal?" - Allah.

"Apakah kamu tidak berfikir?" - Allah.

Tapi kalau kau tetap waswas sampai tahap benda yang Nabi sendiri kata okey pun kau ragu, maka tak payahlah travel. Buat stress saja nanti.

Nota: Terlampau waswas ni sejenis penyakit dan hasutan syaitan. Kalau perlu berubat, pergilah berubat.

Mohon sangat, jangan laju kita buat kesimpulan sesuatu makanan tu haram, kedai makan tu haram, hanya sebab tak ada logo Halal ataupun guna logo Halal bukan JAKIM punya. Kita share pula tu, lalu menimbulkan panik dalam kumpulan Muslim yang memang sedia hidup dalam ketakutan.

Ada beza antara makanan yang halal dengan makanan yang tiada logo halal. Makanan halal adalah halal, walaupun tiada logo halal. Ketiadaan logo halal pada makanan halal, tidak menjadikan makanan itu haram.

Kau baca semua ke? Kalau baca semua sampai habis, komen, 'Alhamdulillah. Saya baca sampai habis.'

Kalau ada juga yang komen melulu tanpa baca hujah-hujah dalam setiap baris posting yang aku tulis dalam masa hampir tiga jam ni, seriuslah, kasihan betul tahap malas membaca, waswas, paranoid, dan buruk sangka dia. I can't save you, man. You have blocked your mind. Even Nabi can't save you. So, you save yourself.


(AHIMSA VEGE HEALTH FOOD INDUSTRIES)

Email : helmi@ahimsa.com.my

No Tel : 016-216 3949

WhatsApp : http://www.wasap.my/+60162163949/helmiahimsa

Certification: HALAL, ISO2200, HACCP, GMP, BUATAN MALAYSIA

Group Telegram : https://t.me/+lCvCMrPTFtphYzc1

 

 

 

 

Our online shop

Website: https://shop.ahimsa.com.my/

Shopee frozen: https://shopee.com.my/ahimsafrozenfood

Shopee non frozen: https://shopee.com.my/ahimsavegehealth

Lazada: https://www.lazada.com.my/shop/ahimsa-vege-health-food?spm=

 

Medsos

Tiktok: https://www.tiktok.com/@vegehealthfood?_t=8a4zst3m70L&_r=1

Facebook: https://www.facebook.com/AhimsaVegeHealth

Intagram: https://www.instagram.com/ahimsavegehealth/

Youtube: https://www.youtube.com/@ahimsavegehealth585


Catatan popular daripada blog ini

Jangan Guna 'Seat Belt Clip" sayangi nyawa anda.

Saya pernah tegur seorang pemandu, kenapa beliau gunakan "seat belt clip". "Senang doktor, takde berbunyi alarm tu. Runsing saya!" Masa tu, saya baru sahaja pindah ke tempat bertugas yang baru. Takkan baru seminggu jagung, nak terus tunjuk taring kan? Bagi yang kali pertama dengar tentang "seat belt clip", ia adalah suatu alat untuk "menipu" penggera tali pinggang keledar dalam kebanyakan kenderaan moden. Klipkan sahaja di ruang klip tali pinggang keledar dan bunyi bingit penggera akan hilang begitu sahaja. Hebatkan inovasi orang kita? Kita berjaya menipu sistem yang dibangunkan orang Barat. Kita berjaya jatuhkan Illuminati, Rockefeller dan Yahudi. Syabas! Ok, jangan jadi pembaris pergi percaya ayat akhir tu. Itu namanya Sarcasm. Tuan - tuan, perasan tak sejak kebelakangan ini banyak mangsa kemalangan jalan raya yang maut akibat tercampak dari kenderaan? Pada tahun 2017, ada satu kes kemalangan maut dimana pemandu tercampak keluar ...

Bidang Kreatif ni seronok dan best k? fikir dahulu...

  Bidang seni kreatif ni bukan mudah seperti disangka, dulu masa sekolah org berebut2 nak masuk ke bidang sains, namun kini tidak seperti dahulu. Pelajar skrg ada banyak pilihan dalam menentukan hala tuju bidang masing2, bidang kreatif juga tidak terkecuali. Semuanya berpunca dari pekembangan pengaruh media dan penggunaan internet, yang menyebabkan anak muda seperti berminat menceburi dalam bidang ini yang dilihat Fun dan santai Sahaja kerjayanya.   Btol k? meh sini nak terangkan.. 1.    Ko nak balik ontime?  Mana boleh.. kalau cari kerja yang work life balance, percayalah, bidang ini bukan untuk anda. Bidang kreaftif ni tak kiralah, grafik ke, penyiaran ke, penerbitan ke, semua nya berkait dan memerlukan kerja lebih masa dan bersengkang mata. Sbb tu, kalau dapat kerja tempat yang best dan establish la kan, dekat office mesti ada katil dan mempunyai pack 3 in 1 kopi yang banyak. Ot? Nasib la kalau boss bagi. Selagi boss kata balik, korang jgn ingat boleh balik. ...

Renew Roadtax Murah dan Pantas

INSURANS & CUKAI JALAN KENDERAAN TELAH TAMAT    ❔ ❓ ❔ ANDA SIBUK TIADA MASA  ⏳ ⌛ JANGAN RISAU MASALAH ANDA KAMI SELESAIKAN  💯  GERAN MASIH DI BANK KAMI BOLEH URUSKAN  ✔ RENEW ROADTAX TANPA GERAN  👉  tanpa geran original 👉  tanpa perlu ke pejabat pos atau jpj 👉  polisi & roadtax dihantar terus ke rumah atau pejabat 🆓  harga boleh runding sampai JADI Minat nak jadi egent roadtax reminder? Komisyen mudah tambah pendapatan. Link FB Page: https://www.facebook.com/roadtaxremindermalaysia/ website: https://roadtaxremindermal.wixsite.com/mysite Instagram: https://www.instagram.com/roadtaxremindermalaysia/ Youtube Channel: https://www.youtube.com/channel/UCdHDvc_gtwMgBPa-sx41ERw Blog: https://roadtaxremindermalaysia.blogspot.my/ Direct Whatsapp: http://www.wasap.my/+60196121511/roadtax # roadtaxremindermalaysia   # gelerikereta   # stancekajang   # stanceofficial   # proton #...